Kuala Lumpur: Peneraju perniagaan hiliran minyak dan gas di negara ini, Shell Malaysia (Shell) melancarkan kempen soal selidik di seluruh negara, termasuk maklum balas mengenai produk dan perkhidmatan, sebagai inisiatif mendekati pengguna.
Pengurus Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd Azman Ismail berkata, kempen itu adalah komitmen pihaknya untuk lebih memahami kehendak pengguna, selain membolehkan Shell mempertingkatkan pengalaman pengguna di stesen minyak.
Katanya, pelaksanaan kempen ini penting bagi merealisasikan hasrat mereka memaksimumkan perkhidmatan dan produk ditawarkan selari dengan kehendak pengguna.
“Buat julung kali kami mengadakan kempen soal selidik sebegitu besar untuk mendapatkan maklum balas masyarakat umum, sejajar asas perniagaan kami melakukan pembaharuan menghasilkan produk dan perkhidmatan idaman pengguna.
“Namun, usaha ini mustahil tanpa perlu memahami apakah yang pengguna mahukan. Kejayaan kami bergantung kepada pelanggan dan pandangan mereka penting buat kami,” katanya ketika perasmian kempen itu di sini, semalam.
Azman berkata, sebagai ganjaran kepada pengguna yang menjayakan kempen itu, Shell akan menyumbangkan hadiah keseluruhan bernilai RM1.3 juta kepada 1,200 responden.
Katanya, sepanjang kempen berlangsung sehingga 9 Julai nanti, 150 peserta dipilih setiap minggu dan masing-masing menerima RM1,000 dan hadiah Shell bernilai RM150.
“Kunjungi mana-mana stesen Shell di seluruh negara dan isi borang selidik kami. Pelanggan bertuah akan menerima hadiah ditawarkan,” katanya.
Sebagai syarat menyertai kempen ini, pelanggan hanya perlu mengunjungi mana-mana stesen Shell dan membeli produk sebelum lampirkan resit pembelian dengan borang soal selidik. Tiada had harga pembelian minimum untuk menyertai kempen ini.
Sumber:Harian Metro
0 Comment:
Post a Comment